Monday, August 15, 2011

Datuk Sri Najib TIDAK Tegas…!

Datuk Seri Najib Razak, yang menerajui tampuk kepimpinan sejak April 2009, berhadapan dengan risiko dilihat menjauhkan diri daripada pendirian sederhana atau pertengahan jika beliau gagal menunaikan inisiatif pembaharuan dan terus cuba “memuaskan” anggota sayap kanan.

Penganalisis-penganalisis mendakwa Najib sudah mula bergerak daripada kedudukan pertengahan beliau sejak menjadi perdana menteri dan tidak begitu tegas dalam melaksanakan dasar-dasar sehingga seolah-olah menggambarkan penyandang sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kelewatan dalam pembaharuan ekonomi, kurang penekanan ke atas Model Baru Ekonomi (MBE) selain ketidakcekapan mengendalikan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu, adalah contoh Perdana Menteri didakwa kini memihak dalam memenuhi kehendak sayap kanan dan juga ahli-ahli dalam Umno sendiri.

"Dalam jangka panjang Najib bergerak ke kanan dan berhadapan dengan risiko besar. Bukan setiap orang menyokong sentimen anggota sayap kanan.

"Ini membuktikan kebenaran hujah bahawa Najib bergerak daripada tengah. Meskipun adanya cadangan pembaharuan dan cuba mendekati komuniti bukan Melayu, kesemua ini adalah tarikan keluar," kata pengarah eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian.

Ibrahim juga percaya bahawa tiada banyak perubahan wujud sejak Najib memperkenalkan program pembaharuan kerajaan dan hasilnya belum belum turun ke peringat bawahan.

Kata beliau, ekonomi negara merupakan faktor asas yang akan menentukan sokongan masa depan khususnya ketika pilihan raya umum ke-13 yang pertama bagi Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Justeru katanya, keadaan ekonomi yang kurang selesa sekarang tidak membantu usaha pentadbiran Najib.

Ibrahim menambah, Najib berusaha untuk mempertahankan sokongan semasa tetapi beliau tidak boleh menggerakkan pembaharuan atas kos asas sokongan orang Melayu dalam Umno itu sendiri.

Dengan merujuk kepada perhimpunan Bersih 2.0, Ibrahim berkata, Najib seharusnya mengambil pendekatan lebih sederhana dan membenarkan ruang kepada mereka yang mahu memberikan suara berbeza.

"Beliau perlu dilihat sebagai perdana menteri kepada kesemua rakyat Malaysia," kata Ibrahim.

Dalam pada itu, ahli akademik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Faizal Hazis juga berpandangan bahawa meskipun Najib menjanjikan pentadbiran kerajaan yang bersifat sederhana dan tengah tetapi nampaknya kurang iltizam di pihak Perdana Menteri dalam melaksanakan rancangan beliau.

"Dalam usaha menenangkan kesemua parti, Najib bergerak jauh daripada pendirian bersifat tengah," kata beliau.

Malah katanya, "tiada iltizam yang kuat untuk berjaya dalam inisiatif beliau, khususnya di pihak Umno."

Menurut beliau, contoh yang paling jelas ialah keengganan Najib, yang menggerakkan Gagasan 1 Malaysia, untuk mengatakan sama ada beliau mengutamakan pendirian “saya rakyat Malaysia terlebih dahulu” — pendirian berbeza diambil oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Respons Najib yang tidak menjawab persoalan mengenai ‘saya rakyat Malaysia terdahulu’ adalah respons yang lemah,” kata beliau sambil berkata Najib berhadapan dengan tekanan daripada anggota yang bersifat sayap kanan dalam Umno sendiri dan berusaha untuk memuaskan mereka.

“Kemungkinan Najib melihat pengaruh itu sebagaimana dilalui Pak Lah (Abdullah),” kata Faizal.

Sehubungan itu, penganalisis ini berkata Najib perlu melaksanakan inisiatif-inisiatif asal yang digariskan di bahawa MBE, yang menjadi asas kepada sokongan kuat ke atas kepimpinannnya dua tahun lalu.

“Itu yang rakyat lihat dan mereka menyokong beliau. Tetapi, secara berperingkat-peringkat kumpulan seperti Perkasa dan dalam Umno sendiri menyebabkan rancangan pembaharuan terganggu.

“Beliau melangkah ke belakang daripada melaksanakan (matlamat) MBE, yang awalnya untuk semua kaum. Ia tidak menunjukkan beliau serius mengenai perubahan,” kata beliau lagi.

- Malaysian Insider -

1 comment:

  1. Kalau tengok gambar2 Najib dulu-dulu, jangan haraplah Najib nak bertegas.

    ReplyDelete