Thursday, June 30, 2011

Yang Mana Satu Betul Ni..? Wardina Bercuti Ataupun Wardina “Direhatkan” Oleh TV3...?

Pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, 32, mengambil keputusan untuk berehat selama dua bulan daripada mengacara program itu.

Menurut selebriti berkenaan, tindakan itu untuk meredakan keadaan berikutan isu beliau dituduh sebagai penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekali gus menyokong perhimpunan haram Bersih.

Beliau menafikan diarah oleh pengurusan TV3 supaya mengundurkan diri daripada mengacara program berkenaan, sebaliknya keputusan untuk berehat daripada mengacara program MHI dibuat atas kehendaknya sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

"Selepas isu ini timbul, saya ada berbincang dengan pihak pengurusan TV3 dan memberitahu niat saya untuk berehat seketika. Bagaimanapun mereka tidak bersetuju kerana tindakan saya ini akan membuatkan masyarakat mempercayai saya di pihak yang salah."

"Dalam keadaan sekarang saya tidak mampu untuk melakukan tugasan yang diberi dengan sempurna. Adalah lebih baik saya berehat selama dua bulan untuk meredakan keadaan yang membuatkan saya tidak selesa," katanya yang ditemani peguam, Muhammad Hanif Harun dan Iylia Iqbal Ibrahim serta suami, Ikhwan Johari.

Beliau berkata demikian pada sidang akbar di Kelab Darul Ehsan, Ampang bagi menjawab tuduhan yang dilemparkan ke atasnya oleh penulis-penulis blog yang mendakwa beliau penyokong PKR.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Wardina yang menafikan beliau adalah penyokong PKR dan sekali gus menyokong perhimpunan haram Bersih seperti yang diuar-uarkan dalam Internet.

Wardina mengendalikan program MHI yang disiarkan setiap hari Isnin hingga Jumaat selama dua jam setengah mulai pukul 6.30 pagi mengikut jadual.

Selebriti itu menjelaskan, walaupun berehat daripada mengacara program MHI, namun segala jemputan untuk program motivasi yang diterima sebelum ini akan dijayakan.

Pada sidang akhbar itu juga, Wardina berkali-kali menegaskan yang beliau tidak berminat menyertai mana-mana parti politik walaupun ada pihak yang pernah mengajaknya berbuat demikian.

Malah katanya, beliau tidak mengetahui Program Karnival Mesra Rakyat yang diadakan di Desa Mentari, Petaling Jaya, Ahad lalu adalah anjuran PKR dan kehadirannya adalah atas jemputan seorang individu yang memintanya memberi ceramah berkaitan keibubapaan.

Katanya, buat masa sekarang beliau lebih berminat memberi ceramah motivasi berbanding politik kerana mahu berkongsi ilmu dengan para pelajar wanita di institusi pengajian tinggi (IPT), ibu-ibu muda dan kanak-kanak.

"Selama ini sudah banyak kali saya bekerjasama dengan badan-badan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tapi tidak timbul pula isu salah faham begini. Mungkin selepas ini kalau ada undangan daripada mana-mana pihak yang bukan NGO, saya akan lebih berhati-hati sebelum bersetuju," katanya.

Wardina mengaku yang beliau amat kecewa dan sedih dengan tuduhan yang dilontar kepadanya dan paling mengguris hatinya apabila gambar beliau tanpa bertudung disebarkan dengan kata-kata nista dan hina.

Sehubungan itu atas nasihat peguamnya, Wardina memberi tempoh dua minggu kepada penulis-penulis blog agar mengeluarkan semula gambar-gambar lamanya serta cerita yang tidak benar tentang dirinya.

"Sebenarnya saya tidak mahu perkara ini berpanjangan. Namun saya perlu mengambil tindakan jika masih ada penulis-penulis blog yang menyebarkan fitnah terhadap saya. Saya beri mereka tempoh dua minggu, kalau masih berdegil saya akan menghantar surat amaran dan tindakan seterusnya," jelasnya.

[taken from Utusan Online, please click here]

1 comment:

  1. jawab je la ko menyokong PR atau kerajaan.. Tutup cerita hahaha

    ReplyDelete