Antara Isteri Taat, Main Kayu Tiga atau Poligami
Oleh Kucing Jantan
BRO senyum sendirian apabila membaca polemik mengenai penubuhan Kelab Isteri Taat. Bro tak mau ambil tahu siapa yang tubuhkan dan apa motifnya.
Walaupun Bro menolak sekeras-kerasnya seruan agar isteri melayan suami seperti ‘pelacur kelas pertama’ tetapi Bro bersetuju sangat dengan penubuhan kelab ini.
Mahu tak mahu kaum perempuan kena mengakui bahawa ramai di kalangan isteri sekarang sudah tidak taat kepada suami. Banyak kes yang berlaku bagaimana si suami menangkap si isteri curang dengan lelaki lain.
Bro dapat banyak cerita bagaimana perempuan yang bergelar isteri mengadakan hubungan sulit dengan rakan-rakan sepejabat. Bukan fasal si suami di rumah tu tak baik tetapi kerana si isteri tu yang tidak boleh kawal nafsu, nampak sikit lelaki kacak dan pandai pula ‘mengayat’ lemah longlai si isteri orang itu.
Masa tu tak kira dosa pahala dah, balik kat rumah mula la buat perangai, bila si suami suruh layan sikit jawapan diberi letih la, penat la, badan tak sihat la tetapi masa kat pejabat dok menggatal dengan lelaki lain, ok pula.
Sebab itulah Bro sokong kelab tersebut sebab mereka yang menubuhkan kelab berkenaan dah sedar betapa ramainya isteri yang semakin tak taat.
Jangan la dok bagi alasan kononnya kelab tu bertujuan nak pastikan si suami tak cari perempuan lain. Bagi Bro kalau pun lelaki nak kahwin apa masalahnya?
Bukankah Islam membenarkan si suami berkahwin empat selagi dia berdaya zahir dan batin. Bro tak faham la kenapa perempuan emosi sangat bab suami nak kahwin lain ni.
Poligami dibenarkan oleh Islam maknanya Allah SWT mengizinkannya, jadi buat apa yang kita susah payah dok pening kepala nak bertengkar setuju ke tidak.
Sebagai perempuan reda sahajalah ketentuan Illahi, kalau suami kita hendak berkahwin lain, tidak payah hendak gaduh-gaduh.
Kalau nanti si suami tidak jalankan tanggungjawabnya dengan betul dan adil, biarlah dia jawab dengan Tuhan.
Tak payah dok berdebat setuju atau tak setuju, bagi Bro perempuan yang tentang poligami ni sebenarnya tak faham hukum hakam agama dan yang Bro pelik tu ada antara mereka belum pun berkahwin.
Jadi Bro tak faham macam mana dia tahu poligami tu akan menyusahkan kaum wanita, setiap perkara yang dibenarkan oleh Allah SWT pasti ada kebaikan, cuma manusia yang tak tahu melaksanakannya.
Daripada dok sibuk-sibuk fasal poligami tu lebih baik tumpu perhatian kepada nasib wanita yang tak berkahwin macam mereka.
Bagaimanapun dalam bab poligami ni, Bro percaya kalau si isteri tu baik dan melayan suami dengan sempurna, Bro percaya si suami tidak akan berkahwin lain tidak kira la muncul perempuan lawa macam mana sekali pun yang datang menggoda.
Bila si suami berkahwin lain ia ada dua sebab, pertama mungkin si isteri membosankan dan kedua, kerana pintu hatinya sudah terbuka untuk menerima cinta baru.
Jadi janganlah perempuan nak mengamuk tak tentu fasal bab poligami dan isteri kena taat ni. Memang perempuan zaman sekarang tak macam zaman dulu, banyak langkah kawalan dan peringatan perlu diberikan supaya mereka tidak terbabas.
Kebebasan yang diberikan oleh suami kadang kala menyebabkan mereka lupa batas sebagai seorang isteri biarpun mereka berjawatan besar. Tetapi kena ingat setinggi mana pun kedudukan mereka, syurga tetap di bawah telapak kaki suami.
Oleh itu apabila Kelab Isteri Taat ini ditubuhkan, janganlah anggap mereka hendak mencari publisiti sebaliknya mereka hendak memberi peringatan kepada kaum perempuan apa yang sepatutnya mereka utamakan.
Perempuan yang risau kononnya kelab seumpama itu akan disalahgunakan oleh lelaki, sebenarnya takut dengan bayang-bayang sendiri.
Kalau pun ada lelaki yang cuba menyalah gunakannya itu bukan salah lelaki tetapi salah perempuan kenapa cepat sangat mereka terpengaruh atau lentok bila ‘diayatkan’ lelaki.
Bro bukannya nak tuduh tetapi inilah hakikat yang berlaku di sekeliling kita. Sebab itulah bila ada usaha hendak meningkatkan ketaatan seorang isteri, kita kena sokong.
Lagi pun Bro percaya setiap perkahwinan itu perlu sentiasa diberikan nafas baru terutamanya dalam soal hubungan suami isteri. Janganlah bila dah beranak pinak maka kasih sayang dan cinta antara suami isteri pun luntur.
Sebaliknya banyak perkara perlu dilakukan supaya biar pun sibuk mana pun kehidupan kita, hubungan suami isteri itu perlu sentiasa dijaga dan dipelihara.
Tetapi yang selalu Bro tengok perempuan bila dah ada anak mula nak lupa tanggungjawab layan suami, bila tidur malam pun nak peluk anak aje, si suami yang ‘kesejukan’ tak diendahkan.
Kesudahannya rumah tangga jadi muram dan tidak ceria, bila si suami jatuh cinta dengan perempuan lain mula la nak mengamuk.
Jadi nasihat Bro kepada kaum perempuan, apabila berlaku sesuatu dalam rumahtangga kita, jangan tuding jari kepada orang lain tetapi kajilah diri sendiri untuk mengetahui di mana silapnya yang memungkinkan cinta si suami beralih arah.
Kadang kala si suami bukannya hendak main kayu tiga tetapi sekadar untuk memberi peringatan kepada si isteri supaya jangan lupa tanggungjawabnya
Dari Utusan Online…..
The King and U
4 hours ago
No comments:
Post a Comment