Thursday, September 29, 2011

Cebisan Seluar Dalam Dijumpai Oleh Ketua Bahagian Kimia Makmal Forensik ....

Setitis darah dan sehelai rambut ditemui pasukan forensik pada kayu kriket di lokasi didakwa tempat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya diikat, dipukul dan diserang di sebuah bilik bangunan setingkat di Ladang Gadong, Banting, pada 30 Ogos 2010.

Ketua Bahagian Kimia Makmal Forensik Polis Cheras, Superintendan Soo Me Tong, 55, berkata beliau menjumpai kayu kriket itu ketika melakukan pemeriksaan pada 12 September 2010 dan mengambilnya bagi perbandingan DNA. Saksi pendakwaan ke-48 itu berkata, beliau mengambil kayu kriket berkenaan selepas dimaklumkan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Ishak Mohd Yaakob, mengenai bahan bukti itu dalam satu taklimat.

Kesan darah dan rambut itu kami serahkan kepada Ishak dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis, katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ishak Mohd Yusoff.

Me Tong dalam keterangannya menyatakan pasukannya menemui barang kes termasuk serpihan tulang, sebatang gigi, kesan darah, kayu kriket, cebisan seluar dalam ketika menjalankan siasatan di bangunan setingkat itu dan tapak di dalam kawasan ladang itu pada 12 dan 14 September 2010.

Disoal TPR Idham Abdul Ghani mengenai teknik pengumpulan barang kes di tapak didakwa sebagai lokasi semua mangsa dibunuh dan dibakar pada 14 September 2010, Me Tong berkata, lapisan permukaan tanah yang digali dimasukkan ke dalam bakul, ditapis dan di basuh dengan air di kolam berhampiran.

Katanya,ia cara yang sesuai dan biasa digunakan dalam kes lain bagi mencari bahan bukti dalam tanah. Barang kes dijumpai di tapak, ia bercampur dengan tahi kambing dan kotoran, jadi kami perlu membasuhnya untuk memastikan sama ada ia tulang. Prosedur yang sama dilakukan untuk barang kes ditemui di empat zon tapak itu yang sudah dibahagikan.

Sukar nak cam sama ada ia tulang atau tidak kerana ia kotor, doktor (pakar patologi) pun susah nak camkannya, katanya. Disoal balas peguam Manjeet Singh Dhillon, yang mewakili tertuduh pertama, N Pathmanabhan, Me Tong tidak setuju dengan membasuh barang kes itu mereka sudah menghilangkan bahan bukti forensik penting pada serpihan tulang dan tanah berkenaan.

Disoal Manjeet, Me Tong mengakui beliau tidak tahu mengenai perbezaan antara rangka tulang manusia dan haiwan seperti kambing, lembu, kucing dan anjing. Disoal peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh ketiga, R Matan, Soo berkata, beliau tidak tahu mengenai siasatan pasukan forensik polis lain di ladang itu yang turut menggunakan bantuan unit anjing pengesan pada 9 September 2010.

Katanya, beliau juga tidak dimaklumkan sama ada unit anjing pengesan itu mengesan tulang atau mayat atau cebisan mayat.

Disoal Amer mengenai penemuan kesan darah, Soo berkata, beliau tidak boleh memastikan sama ada ia adalah darah manusia atau haiwan. Perbicaraan masuk hari ke-36di depan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung hari ini…

No comments:

Post a Comment