Saturday, September 17, 2011

Dah Mansuh ISA Tapi Macam2 Pulak Lagi...!!!

Gerakan Mansuh ISA (GMI) menuntut kerajaan membayar pampasan kepada tahanan-tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, yang terpaksa berhadapan dengan penganiayaan dan penyeksaan ketika ditahan tanpa perbicaraan.

Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kerajaan bukan sewajarnya hanya mengambil kira pertimbangan kewangan, tetapi juga perlu membayar pampasan ke atas apa jua kesan psikologi dan emosi dialami oleh mereka yang ditahan di bawah ISA.

"Kesemua mangsa ISA harus dibayar gratuiti yang sewajarnya kepada mereka yang ditahan dan anggota keluarga mereka," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Malah beliau juga menuntut agar pihak-pihak yang terbabit dalam kerja-kerja menyeksa dan menganiaya tahanan ISA dihadapkan di mahkamah.

GMI mengadakan kempen perhimpunan menuntut ISA dimansuhkan di ibu negara pada 2009.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Katanya, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan, kata Najib.

Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Sambil menyifatkan langkah terbaru Najib untuk memansuhkan ISA sebagai “berani” Syed Ibrahim berkata, beberapa persoalan kekal belum terjawab sama ada undang-undang antikeganasan baru hanya akan memindahkan kuasa arbitari kepada bentuk undang yang lain.

“Jika dipindahkan daripada ISA kepada undang-undang baru, maka perubahan radikal tidak akan wujud meskipun ISA dimansuhkan,” kata beliau.

Malah kata beliau, kerajaan seharusnya menetapkan urutan masa bagi memansuhkan ISA ataupun pengumuman Najib hanya akan dianggap sebagai taktik mencari sokongan undi dalam pilihan raya.

Syed Ibrahim juga berkata, GMI akan membincangkan status pertubuhan itu berikutan pemansuhan ISA diumumkan Najib.

"GMI tidak akan dibubarkan... kita akan berbincang untuk mengkaji semula matlamat persatuan ini, dan akan memastikan ISA betul-betul akan dimansuhkan,” katanya.

"Sekiranya masih lagi terdapat unsur-unsur ISA dalam akta baru yang digubal kerajaan, kita akan terus menentang,” tambah beliau.

Sementara itu, Presiden Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dr Kua Kia Soong pada sidang media yang sama menggesa kerajaan memohon maaf kepada lebih 10,000 orang yang pernah ditahan di bawah ISA.

Permohonan maaf ini perlu kerana mereka masih lagi trauma dengan penahan tersebut dan penderitaan itu turut dikongsi ahli keluarga yang terlibat.

No comments:

Post a Comment