Wednesday, December 14, 2011

NFC: Letak Jawatan Tidak Selesai Masalah.....

Laungan meminta Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil meletak jawatan kian ramai. Seperti biasa di dalam politik ramai yang melihat ke arah orang tanpa sekalipun mencerminkan diri mereka sendiri....

Ada antara yang melaungkan saranan agar Sharizat meletak jawatan tersebut sebenarnya suatu ketika dahulu turut terpalit pelbagai tuduhan dan skandal. Tetapi ketika itu mereka tahu pula bercakap soal keadilan dan jangan jatuhkan hukuman sebelum didapati bersalah.

Saya tidak pernah berjumpa Shahrizat dan saya tidak mengetahui beliau secara peribadi. Sejarah antara saya dan beliau hanyalah saya seorang pengundi dan beliau seorang wakil rakyat....

Dalam sejarah politik saya sebenarnya tidak berapa gemar dengan tindak-tanduk Ketua Wanita UMNO ini semasa menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai dan juga ketika beliau menjadi penyokong kuat Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Shahrizat pernah menimbulkan kecelaruan kepada UMNO Lembah Pantai apabila beliau membenarkan adiknya bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai sekaligus mecalarkan janjinya untuk tidak masuk campur dalam politik UMNO Bahagian tersebut...

Janji itu kerana beliau datang dari luar bahagian tetapi tetap diberi sokongan jitu oleh UMNO bahagian.

Semua orang politik tahu dan faham bahawa Shahrizat dan Khairy Jamaluddin merupakan dua proksi kem Pak Lah untuk menerajui Wanita dan Pemuda UMNO selepas pilihan raya 2008.

Justeru tidak hairan ramai yang marahkan Pak Lah dan sekutunya mahukan Shahrizat berundur dalam isu Fidlot Kebangsaan ini. Saya juga tidak hairan ketegaran Khairy membela NFC pada awal isu ini timbul.

Inilah semangat setiakawan fraksi Pak Lah dan mungkin juga ada sedikit sebanyak pembabitan Ketua Pemuda ini dengan NFC. Ada juga yang dulu menyokong kuat Pak Lah hari ini membelasah Shahrizat secukupnya sehingga menjadi tidak rasional.

Rasionalnya wajarkah Shahrizat meletak jawatan kerana suami dan anak-anaknya dianggap melakukan kesilapan dan penyelewengan..?

Mengapa Shahrizat harus dijadikan kambing hitam sedangkan mereka yang terbabit dalam isu ini mencuci tangan dan membersihkan diri dari “najis lembu” termahal ini..?

Tidak ada sebab untuk Shahrizat melepaskan jawatan kerajaan dan parti sehingga siasatan dijalankan dan pihak yang bersalah dikenalpasti. Jika dilihat seluruh operasi pemberian pinjaman ini kepada syarikat suami dan anak-anak Shahrizat saya tidak nampak bahagian mana yang boleh menjadikan Ketua Wanita ini seorang yang bersalah...!

Kesalahan yang jelas setakat ini ialah apa yang dilakukan oleh pengurusan syarikat terbabit. Jika mengikut logik biasa, pembelian kondominium, kereta mewah dan tanah di Putrajaya menggunakan wang pinjaman dari kerajaan yang sepatutnya untuk tujuan penternakan lembu merupakan satu unsur pecah amanah (Criminal Breach Trust – CBT).

Ini bermakna para Pengurus Kanan syarikat terbabit perlu didakwa di mahkamah.

Sekiranya terdapat kesalahan pengeluaran dana untuk pinjaman ini maka pihak yang mengeluarkannya harus memikul tanggungjawab. Dalam konteks ini mereka yang meluluskan pengeluaran wang pinjaman tersebut perlu dikenakan tindakan jika ia tidak mengikut syarat perjanjian asal.

Para pemimpin UMNO patut berhenti menyarankan Shahrizat berundur kerana pengunduran beliau tidak akan menyelesaikan kemarahan rakyat terhadap isu ini...!

Isunya bukan sama ada Shahrizat perlu letak jawatan atau tidak. Isunya ialah kita mahu melihat siasatan dijalankan dan ambil tindakan ke atas mereka yang didapati melakukan pecah amanah atau salah guna kuasa.

Janganlah berharap dengan perletakan jawatan Shahrizat maka kita boleh menutup isu ini. Rakyat mahu melihat kes ini disiasat dengan telus dan tindakan pendakwaan diambil jika ada prima facie.

Dalam konteks ini, tindakan Khairy Jamaluddin dan Pengerusi NFC mempertahankan pembelian kondominium sebagai pelaburan yang menguntungkan syarikat merupakan satu pengakuan “bunuh diri....!”

Ramai peguam berpendapat adalah menjadi satu kesalahan serius untuk memohon pinjaman untuk suatu perkara lain (dalam konteks ini penternakan lembu) tetapi menggunakan wang pinjaman tersebut untuk kegunaan yang lain.

Kita tidak mahu mendahului siasatan Polis dan kita juga tidak mahu mereka yang tidak bersalah di bawa ke mahkamah semata-mata untuk menunjukkan kerajaan ini telus. Kita hanya mahu keadilan dilaksanakan dan UMNO harus berani mempertahankan keadilan tersebut.

Apa yang terjadi hari ini ialah UMNO menjadi sebuah parti yang takut berhadapan dengan serangan pembangkang dan gagal menjawab setiap isu yang dibangkitkan secara meyakinkan rakyat.

Akhirnya UMNO mengambil jalan mudah meminta mereka yang dianggap menjadi labialiti kepada parti berundur biarpun tidak bersalah. Jika konsep ini diambil kira hampir 3/4 ahli kabinet tidak lagi layak menjadi Menteri dan wakil rakyat kerana mereka semua berhadapan pelbagai tuduhan dan dakwaan oleh pembangkang.

Akhirnya UMNO dan kerajaan tidak lagi mempunyai kekuatan dan keupayaan intelektual mempertahankan tindakan dan keputusannya. Lihat sahaja ada Menteri kabinet menjadi saksi di Mahkamah menyatakan beliau pun kurang bersetuju dengan keputusan kabinet mengenai PKFZ tetapi tetap akur dengan keputusan tersebut.

Inikah bentuk kepimpinan UMNO yang tinggal di dalam kerajaan hari ini..? Sepatutnya apa yang telah diputuskan oleh Kabinet harus dipertahankan oleh jemaahnya sampai bila-bila pun. Jika tidak bersetuju maka harus isytihar semasa perbincangan dan kecualikan diri atau terbaik letak jawatan.

Malangnya, ketika itu mendiamkan diri, hari ini membuat kenyataan berlainan di dalam mahkamah.

Justeru dalam kes NFC ini tidak penting Shahrizat meletak jawatan atau tidak. Yang penting siasatan dan pendakwaan harus dibuat bagi menjaga integriti kerajaan membabitkan pengurusan NFC dan juga pihak dalam kerajaan yang menguruskan pengeluaran pinjaman ini.

Apakah ia diuruskan mengikut kehendak kabinet dan tatacara kewangan negara atau ia dilakukan secara semberono sehingga lebih RM 170 juta telah dikeluarkan...?

Mereka yang mahukan Shahrizat berundur sebenarnya mahu menutup segera isu ini. Namun mereka harus sedar bahawa pengunduran Shahrizat hanya akan menyemarakkan lagi isu ini jika tiada tindakan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab menayalahgunakan pinjaman ini....

myKMU.net

1 comment:

  1. lovely - alhamdulillah

    who wrote that?
    mykmu.net

    have we become like the yahuudu wan-nasaara
    muhammad was just muhammad was al amin

    ReplyDelete