Friday, December 16, 2011

Umno Jugak Yang Disalahkan....!! Dah Agak Dah.....

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menganggap dua pimpinan parti itu Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa sudah terperangkap dalam agenda Umno untuk melemahkan PAS.

"Saya buat kesimpulan, mereka berdua terheret dengan agenda (Umno) yang boleh menjejaskan parti. Sama ada mereka sedar atau tidak sedar, mereka sebenarnya terperangkap dalam agenda musuh politik PAS.

"Ini sangat tidak wajar dan tidak baik bagi PAS walaupun tidak memberikan kesan besar bagi parti," kata beliau dalam temu bual bersama organ parti Harakah dan Harakahdaily di Kuala Lumpur, hari ini.

Mustafa berkata demikian sebagai mengulas kenyataan terkini kedua-dua pemimpin itu mengenai kedudukan mereka dalam parti.

Perkara itu timbul apabila Ketua Penerangan Pas Selangor Shaari Sungib dilaporkan berkata, Hasan tidak menerima pencalonan mencukupi daripada cawangan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.

'Kekecewaan Tidak Terpilih'

Hasan pula selepas itu dilaporkan berkata akan terus bekerjasama dengan PAS dan Pakatan Rakyat selagi pihak berkenaan mempertahankan prinsip Islam, hak Melayu dan institusi Raja.

Mengulas perkara itu, Mustafa berkata, kenyataan itu menggambarkan Dr Hasan seolah-olah mempersoal dasar Islam yang diperjuangkan PAS dan terpengaruh dengan tuduhan parti itu diperalatkan DAP.

"Saya rasa ini sebab kekecewaan kerana mereka tidak terpilih dan tidak diletakkan di tempat mereka seperti Nasharudin sebagai timbalan presiden dan Hasan sebagai pesuruhjaya Selangor," beliau dipetik sebagai berkata kepada organ parti PAS.

Mustafa juga dilaporkan turut menegur Saari yang dianggap mendahului parti sedangkan urusan calon pilihan raya ditentukan oleh Majlis Syura.

Bagaimanapun, veteran PAS itu berkata, kenyataan Hasan dan Nasharudin itu tidak menjejaskan parti kerana ahli menyokong dasar Islam dan bukannya individu.

"Bekerja untuk melemahkan parti, ini tidak betul walaupun kesannya tak besar sebab PAS mempunyai kekuatan tersendiri, memang tak boleh digugat oleh individu.

"PAS pernah kehilangan presiden suatu waktu dahulu tapi ahli tak lari ikut orang, tapi mereka ikut dasar," katanya.

No comments:

Post a Comment