Saturday, December 10, 2011

Pas Kelantan Boleh Tumbang Pada Pru ke 13 Nie...!

Pilihan raya umum akan datang adalah detik terbaik bagi UMNO melaksanakan jihad ini. Tidak usah bimbang dengan andaiannya apatah lagi 'fatwa' songsang mana-mana pihak, kononnya tindakan menjatuhkan Pas di Kelantan adalah satu dosa memandang ia kerajaan yang berada di bawah kepimpinan ulama.

Tetapi soalnya, apakah Islam membenarkan umatnya terus berada dalam pelbagai masalah kehidupan akibat kelemahan pentadbiran sesebuah kerajaan?

Sebenarnya, keputusan Nik Aziz itu adalah rahmat untuk UMNO Kelantan kerana pengaruh Mursyidul Am itu hakikatnya semakin merosot.

Pemimpin UMNO Kelantan harus ingat apa yang berlaku pada tahun 2004, keputusan pilihan raya pada tahun itu yang menyaksikan Pas terpaksa memerintah dengan kelebihan satu kerusi sahaja, sudah membuktikan Nik Aziz dan Pas Kelantan tidaklah sekuat mana.

Pada masa ini pelbagai kelemahan dan kontroversi yang melanda pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan telah membuka mata dan minda rakyat negeri itu.

Jika dua pilihan raya kecil yang berlangsung di Kelantan baru-baru ini iaitu di DUN Manek Urai dan Galas mahu diambil kira, ia menunjukkan bahawa rakyat Kelantan mahu perubahan.

Mereka memberi kemenangan dengan majoriti yang cukup kecil kepada Pas di Manek Urai dan menghumbankan parti itu ke lembah kekalahan dengan menyebelahi BN di DUN Galas.

Seharusnya, perubahan ketara sikap pengundi ini memberikan semangat kepada pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan untuk meneruskan momentum bagi memastikan misi merampas kembali Kelantan berjaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Lupakan sengketa sesama sendiri kerana hakikatnya apabila orang bercakap bahawa UMNO Kelantan kalah kerana 'cah keting' ia sebenarnya hanya mencemarkan maruah pemimpin-pemimpin parti itu.

Rakyat Kelantan sudah memberikan isyarat mereka mahu kembali kepada BN dan dalam masa yang sama di peringkat pusat pula, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin terserlah dan mampu mengembalikan sokongan kepada parti itu.

Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri sudah memberi jaminan kepada rakyat Kelantan bahawa Kerajaan Pusat akan mengubah wajah negeri itu jika BN diberi peluang memerintah.

Pelbagai peruntukan dan program pembangunan akan dilaksanakan bagi memastikan segala penderitaan rakyat Kelantan sepanjang berada di bawah kepimpinan Pas berakhir.

Oleh itu, jelaslah bahawa UMNO Kelantan sudah memiliki 'azimat' bagi menarik sokongan rakyat negeri itu, apa yang penting ialah keikhlasan dalam memastikan kejayaan BN.

UMNO Kelantan perlu mengatur strategi daripada sekarang dengan mempertingkatkan sesi penerangan kepada rakyat mengenai kelemahan Nik Aziz, kepincangan Pas Kelantan dan kegagalan pentadbiran kerajaan negeri.

Apa yang perlu diingat, populariti Nik Aziz bukanlah berada di tahap cemerlang ketika ini, pelbagai kontroversi yang beliau cetuskan sama ada sebagai menteri besar mahupun Mursyidul Am Pas adalah 'senjata terbaik' untuk UMNO Kelantan mendedahkannya.

Begitu juga dengan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri, rakyat perlu diingatkan bahawa Islam bukan sekadar slogan tetapi agama yang mahu melihat umatnya mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Oleh itu pegangan 'kawe (saya) sokong Pas kerana Isle (Islam)' perlu diubah dalam pemikiran majoriti rakyat Kelantan. Menyerahkan kepimpinan negeri kepada UMNO bukan bermakna akan terbenamnya Islam di bumi Kelantan tetapi sebaliknya akan mengangkat martabat negeri itu bagi memenuhi maksud sebenar Serambi Mekah.

Allah telah berfirman bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, selagi mereka tidak mengubahnya sendiri, maka inilah jihad UMNO Kelantan.

Mereka bertanggungjawab melaksanakan jihad ini demi membawa perubahan dan kemajuan kepada rakyat Kelantan yang majoritinya adalah orang Melayu dan umat Islam.

UMNO Kelantan dengan sokongan Kerajaan Pusat sudah pasti mampu menjadikan Kelantan sebagai negeri orang Melayu yang bermartabat, berjaya dan bermaruah, bukannya diselimuti dengan seribu satu masalah serta kemelut yang menjejaskan imej Islam itu sendiri.

Inilah perjuangan yang dipertegaskan oleh Muhyiddin pada Perhimpunan Agung UMNO lalu bahawa mengubah nasib bangsa, mengangkat dan mempertahankan martabat agama Islam serta meningkatkan maruah negara adalah satu jihad yang perlu dilaksanakan oleh UMNO termasuk di Kelantan.

Justeru pemimpin dan ahli UMNO Kelantan serta penyokong mereka perlu faham tanggungjawab dan amanah yang ada pada diri mereka.

Fahamilah pertarungan di Kelantan bukan sekadar soal merebut kuasa politik semata-mata tetapi jihad mengubah nasib dan mengangkat martabat ummah.

No comments:

Post a Comment