Thursday, November 3, 2011

Kak Fidah Masih Banyak Mulot Laaa....!!

Pelaksanaan kerjasama komprehensif MAS-AirAsia yang menyaksikan pertukaran saham kedua-dua syarikat penerbangan itu tidak akan mewujudkan situasi monopoli seperti mana yang dibimbangkan oleh pihak tertentu.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz berkata, keadaan itu tidak akan berlaku kerana industri penerbangan negara tertakluk kepada undang-undang anti monopoli.

"Pertukaran saham antara pemegang saham kedua-dua syarikat penerbangan tidak akan mengakibatkan sebarang tingkah laku dan amalan yang boleh melanggar undang-undang tersebut.

'Jadi, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana kebimbangan (monopoli) tidak akan berlaku, akta tersebut adalah begitu tegas diamalkan di Malaysia dan luar negara dan Malaysia akan memperkenalkan Akta Persaingan pada tahun depan,'' kata beliau yang juga Pengerusi AirAsia.

Rafidah sebaliknya berkata, kerjasama itu akan memberi banyak faedah kepada para penumpang kerana mampu mengurangkan kos melalui perkongsian perkhidmatan.

Sementara itu, beliau berkata, Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Malaysia Airlines System (MAS) tidak mempunyai pilihan lain kecuali segera 'turun padang' untuk menyelesaikan segala permasalahan yang dibangkitkan oleh lapan kesatuan pekerja syarikat penerbangan kebangsaan itu.

Katanya, pihak pengurusan kanan yang terbabit tidak boleh memandangkan ringan rasa tidak puas hati yang dibangkitkan oleh Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) kerana ia adalah serius.

Beliau yang mengikuti perkembangan itu turut melahirkan rasa hairan mengapa isu tersebut dipandang sepi oleh Khazanah dan pengurusan kanan MAS.

''Saya sendiri tertanya-tanya mana jalan penyelesaiannya. Dalam apa-apa perkara pun, kesatuan pekerja MAS perlu diberi keutamaan. Bawa mereka berbincang dan saya yakin mereka boleh memahami kesulitan dan masalah yang berlaku dalam syarikat penerbangan tersebut.

''Khazanah dan pengurusan kanan perlu pandai menyelesaikannya dalam suasana kekeluargaan MAS dan bukannya antara pekerja dan majikan,'' katanya ketika ditemui selepas perjumpaan Forum Malaysia-Eropah di sini hari ini. Hadir sama bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Munir Majid.

Rafidah berkata, beliau pernah berdepan dengan permasalahan yang sama ketika MISC dilanda kerugian berterusan sehingga mengakibatkan rasa tidak puas hati di kalangan kesatuan sekerja.

''Kalau hendak tahu macam mana kami menyelesaikannya ialah dengan berjumpa kesatuan sekerja.

''Kami berbincang dari hati ke hati dan pertemuan itu berlangsung dengan lebih kerap supaya mereka tahu perkembangan terkini. Itu caranya.

''Tindakan pengurusan MAS yang senyap tanpa apa-apa perkembangan sudah tentu membimbangkan kesatuan sekerja. Kalau saya pun, saya rasa bimbang,'' jelas beliau.

Beliau juga menasihatkan agar kesatuan-kesatuan pekerja MAS tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh merosakkan nama baik MAS sebagai sebuah syarikat penerbangan negara.

''Sebab itulah saya katakan tadi, Khazanah dan pengurusan kanan MAS mesti menemui mereka supaya kesatuan pekerja ini mengetahui realiti yang berlaku dan bukan apa yang difikirkan realiti oleh mereka,'' tambah beliau.

No comments:

Post a Comment