Wednesday, November 2, 2011

Tangkaplah...! JAIS Tunggu Apa Lagi...?? Bob Lokman Dah Ready.....

Pelakon dan pelawak terkenal, Bob Lokman tetap dengan pendirian tidak bersalah walaupun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dilaporkan telah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya minggu lalu berhubung dakwaan mengadakan ceramah agama tanpa tauliah.

Bagaimanapun, Bob Lokman yang dihubungi The Malaysian Insider lewat malam tadi memberitahu, beliau masih belum dimaklumkan atau dihubungi Jais mengenai perkembangan itu.

Katanya, dia bersedia untuk memberi kerjasama sekiranya Jais tetap dengan pendirian mahu menangkapnya kerana jabatan agama itu berkuasa untuk berbuat demikian.

“Jais ada kuasa, mereka boleh ambil tindakan undang-undang, walaupun merasakan saya tidak bersalah. Tapi saya tidak akan membantah sekiranya mereka datang menangkap saya,” katanya.

“Saya masih belum tahu bagaimana proses tangkapan itu akan dibuat, tapi saya akan memberi kerjasama. Sekiranya melibatkan pihak polis, saya akan ikut prosedur mereka (polis),” kata beliau yang nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman.

Sehubungan itu tambah Bob Lokman, beliau juga rela dipenjarakan sekiranya dia didapati bersalah di mahkamah.

“Kalau mahkamah memutuskan saya bersalah, saya rela dipenjarakan, saya tidak mampu untuk membayar denda, nak penjara, saya terima,” katanya yang tidak bercadang untuk menggunakan khidmat peguam bagi membela diri jika kes itu dibawa ke mahkamah.

Jelasnya, beliau juga akan memberi keterangan di mahkamah untuk mempertahankan diri berhubung insiden penangkapannya di Hulu Langat tempoh hari.

“Saya tetap akan mempertahankan diri dengan memberikan keterangan yang benar (di mahkamah jika didakwa), saya tetap tidak akan mengaku bersalah,” tegas beliau yang menyertai PAS pada 19 Februari lalu.

Ujar Bob Lokman, beliau percaya tindakan Jais mahu menangkapannya sebagai satu usaha agensi itu mahu menjatuhkan golongan pendakwah sepertinya, seolah-olah mereka mendatangkan ancaman.

“Sepatutnya Jais memberi bantuan dan sokongan kepada golongan yang menyampaikan dakwah, bukannya menjatuhkan mereka,” katanya.

Namun begitu, pendakwah bebas ini juga yakin kebenaran untuk dirinya akan terbongkar dan percaya isu ini mempunyai hikmah tersendiri.

Laporan semalam menyebut Jais telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Bob Lokman berikutan kegagalannya hadir di pejabat agensi agama itu untuk memberi keterangan berhubung tindakannya menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.

Pengarah Jais Marzuki Hussin berkata waran tangkap itu telah dikeluarkan Jumaat lalu.

“Pihak kami sedang menjejakinya supaya dia boleh ditahan untuk disoal siasat bagi membantu siasatan kes yang melibatkan dirinya,” katanya.

Jabatan itu kini dalam proses melaksanakan tindakan undang-undang bagi membolehkan Bob Lokman hadir di mahkamah dan kemudian dilepaskan dengan jaminan serta membolehkan proses mengambil keterangan dibuat.

Beliau berkata demikian mengenai Bob Lokman yang ditahan Jais bulan lepas di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat ketika sedang menyampaikan ceramah agama kepada kira-kira 70 jemaah di masjid itu.

Bob Lokman disiasat mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah dan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. -TMI

1 comment:

  1. Ai! Tak nak pakai lawyer ke? Kan ke Latifah Koyak ade!

    Tiba-tiba jadi pendakwah? Jangan-jangan baca jawi pun merangkak.....

    ReplyDelete