Saturday, May 12, 2012

Harga Saham Dijangka Terus Menurun.., Menjunam..!!

Harga saham di Bursa Malaysia dijangka terus diniagakan rendah pada minggu depan, berikutan tekanan sentimen luaran yang lembap yang biasanya akan memberi kesan kepada prestasi pasaran, kata para peniaga.

Masalah luaran seperti data pekerjaan AS yang tidak memberangsangkan serta data perdagangan China yang lebih rendah daripada jangkaan dan risiko di Eropah akan terus memberi kesan kepada bursa tempatan.

Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank Dr Nazri Khan berkata politik Eropah terus menjadi berita utama dengan jangkaan diadakan pilihan raya di beberapa negara.

"Ini akan menyebabkan perubahan kepimpinan baharu semasa benua Eropah terus bergelut untuk menyelesaikan krisis hutang kedaulatan," katanya kepada Bernama.

Katanya data yang akan diterima akan mencorakkan pasaran pada minggu depan yang termasuk inflasi AS, pengeluaran perindustrian AS, pengeluaran perindustrian Eropah dan keluaran dalam negara kasar Jepun.

Nazri berkata kelemahan penanda aras tempatan akan ditampan oleh langkah pengurangan inflasi, ketahanan penggunaan domestik dan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) yang akomodatif.

Pada Jumaat, BNM memutuskan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.0 peratus, sambil menyatakan bahawa inflasi dijangka menyederhana pada tahun ini, dengan bekalan domestik yang meningkat dan keadaan permintaan yang stabil.

"Kami menjangka FBM KLCI akan distabilkan selepas kejatuhan baru-baru ini dan selepas bergerak pada jajaran sempit antara 1,580 dan 1,590," kata Nazri.

Menurutnya, paras sokongan dijangka pada 1,580 dan 1,560 dan ditambat dengan halangan jangka sederhana pada 1,590 dan 1,600.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran diniagakan menurun dengan catatan jumlah dagangan yang sederhana.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 6.72 mata kepada 1,584.32 daripada 1,591.04 .

Indeks Kewangan turun 32.59 mata kepada 14,173.49 daripada 14,206.08, Indeks Perusahaan rugi 29.7 mata kepada 2793.45 daripada 2,823.15 dan Indeks Perladangan merosot 68.76 mata kepada 8,640.20 daripada 8,708.96.

Indeks FBM Emas turun 67.29 mata kepada 10,852.93 daripada 10,920.22, Indeks FBM ACE turun 32.76 mata kepada 4,542.68 daripada 4,575.44, Indeks FBM Mid 70 rugi 166.93 mata kepada 11,879.98 daripada 12,046.91 dan Indeks FBM T100 merosot 65.64 mata kepada 10,655.78 daripada 10,721.42.

Jumlah dagangan mingguan keseluruhan meningkat kepada 6.033 bilion saham bernilai RM6.45 bilion daripada 4.904 bilion saham bernilai RM5.62 bilion.

Perolehan Pasaran Utama meningkat kepada 3.702 bilion bernilai RM6.073 bilion daripada 3.007 bilion saham bernilai RM5.318 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat 1.544 bilion saham bernilai RM272.771 juta daripada 1.06 bilion saham bernilai RM191.5 juta tetapi waran turun kepada 767.848 juta unit bernilai RM96.247 juta daripada 824.428 juta unit bernilai RM101.294 juta.

- Bernama

No comments:

Post a Comment