Thursday, March 29, 2012

Ramalan Tun Daim Boleh Jadi Kenyataan....

Ramalan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin bahawa Barisan Nasional [BN] hanya akan memperoleh tiga negeri pada Pilihanraya Umum akan datang perlu diberi perhatian serius kerana bukannya ramalan kosong.

Pakar undang-undang, Dr Abdul Aziz Bari ketika berceramah di Temerloh menegaskan, jika ramalan tersebut menjadi kenyataan seperti ramalan beliau pada PRU 2008, sudah tentu Pakatan Rakyat (PR) akan mara ke Putrajaya.

“Daim kata BN hanya selamat di tiga negeri saja iaitu Johor, Melaka dan Pahang apa yang dikatakannya bukan ramalan kosong tetapi fakta dan ada kredibiliti kerana beliau rapat dengan saudagar, agen risikan dan badan politik.

“Dulu sebelum 2008 Daim juga ramal lima negeri akan jatuh kepada pembangkang dan setelah keputusan PRU ternyata tepat.

“Malah badan penyelidik Merdeka Centre yang mendapati kajian imej (Datuk Seri ) Najib (Tun Razak) naik itu mengeluarkan kenyataan jika 45 peratus undi Melayu menyebelahi Putrajaya akan dikuasai PR,” ujarnya.

Abdul Aziz yang berceramah di perkarangan pejabat PKR di sini kelmarin mengulas kenyataan Daim juga bekas Bendahari Umno dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini meramalkan BN hanya akan memperoleh kemenangan di tiga negeri sahaja pada PRU-13 nanti.

Serentak dengan itu beliau menggesa jentera PR Pahang digerakkan segera kerana komposisi kaum di Pahang sama seperti Selangor dan jika pengundi diberi akses maklumat tidak mustahil boleh berubah.

Abdul Aziz berkata, orang-orang Melayu yang kurang maklumat terpengaruh dengan propaganda kalau PR menang Cina akan memerintah atau Malaysia akan jadi republik sedangkan itu tidak betul.

“Sebab itu Umno menang dan memerintah atas kebodohan rakyat. Ini terbukti tempat yang dimenangi mereka tempat-tempat yang kurang akses maklumat dan di situlah juga berlaku pelbagai masalah.

“Peranan jentera penerangan ialah memberitahu rakyat kali inilah kita kena ubah jika tidak entah bila lagi. Jika tidak Umno akan lebih ganas lagi, rasuah akan lebih berleluasa lagi.

“Umno takut untuk berdebat soal-soal dasar dan polisi tetapi mereka lebih mudah mengganggu ceramah PR dengan mengupah samseng-samseng. Beritahu rakyat cara politik seperti inilah yang kita kena hentikan,” tambahnya lagi.

Abdul Aziz mengingatkan, dalam PRU yang lalu kira-kira 1.8 juta orang Umno mengundi parti-parti Pakatan justeru beliau meminta jangan disisihkan penyokong-penyokong Umno bawahan.

No comments:

Post a Comment