Monday, July 25, 2011

HOT n SPICY…! Waheeda Sekarang Mengkaji Bible….

Waheeda atau nama sebenarnya Norwahidah Abdul Wahab, 32, ketika diajukan soalan mengenai kehidupannya, berkata dia kini menjadi suri rumah sepenuh masa selain turut menghasilkan lagu untuk suaminya.

"Sepanjang berada di rumah saya menghabiskan masa mengkaji al-Quran dan Bible dan membaca karya pendakwah, Allahyarham Sheikh Ahmed Deedat," katanya

Waheeda terus komited dengan pendiriannya untuk tidak mahu kembali dengan alasan hukum menyanyi pada asalnya adalah harus tetapi ‘sebab-sebab tertentu’ menjadikan karier yang pernah diceburinya adalah haram.

Kata Waheeda, kesukaran menjaga solat dan keadaan persekitaran dalam dunia hiburan yang ‘merimaskan’ memaksanya membuat keputusan meninggalkan kerjaya itu selama-lamanya.

Itu dinyatakan ketika Waheeda menjadi ahli panel satu program bual bicara berjudul Komplikasi Islam dan Iman Membawa Ketenangan anjuran pengurusan masjid al-Azim, Pandan Indah, di sini, Jumaat lalu disaksikan kira-kira 400 jemaah.

Difahamkan, program bual bicara terbabit adalah ceramah pertama berbentuk serius disampaikan bekas selebriti berkenaan mengikuti jejak suaminya, Akhil Hayy.

Dalam program itu, antara yang memberikan ceramah adalah pensyarah British Malaysia Institut (BMI) yang juga penceramah, Ustaz Farhan Sudduq dan bekas gitaris, Sham Kamikaze.

Menurut Waheeda, biarpun menerima saranan kembali ke dunia hiburan dengan kemunculan semulanya membawakan watak yang menyampaikan kesenian Islam namun dia bertekad tidak mahu kembali lagi ke dunia itu dengan memberikan alasannya.

"Saya serik dengan dunia hiburan, amat sukar untuk berwuduk dan menjaga solat. Kita tahu artis rindukan Allah SWT namun persekitaran merimaskan membuatkan kita leka menunaikan tanggungjawab sebagai hamba.

"Punca sukar menunaikan solat adalah kesibukan di set penggambaran. Saya berhadapan masalah untuk bersolat dan berwuduk kerana penggambaran yang melalaikan.

"Saya pernah mahu mengekalkan wuduk untuk bersolat lima waktu namun apabila pengarah produksi tahu saya berwuduk dia sewenang-wenangnya memegang tangan saya.

"Malah, dia (pengarah) turut ketawakan saya sesudah wuduk saya terbatal. Siapa dia untuk memainkan agama Allah!” katanya sambil menitiskan air mata.

Menurutnya, walaupun sempurna berwuduk kadang kala wuduknya terbatal sesudah terlanggar rakannya seorang lelaki yang berimej wanita.

"Saya rimas dengan dunia hiburan, saya bertekad meninggalkan dunia itu kerana dunia hiburan tidak menghormati Allah SWT," katanya. Kata Waheeda, dia juga tidak mahu menyanyi lagi walaupun nasyid dengan alasan haram seorang wanita melunakkan suara di khalayak ramai.

1 comment:

  1. Agama Islam agama sejagat, jgn d sempitkan. Semoga kita dapat petunjuk yg benar. Amin....

    ReplyDelete