Thursday, January 17, 2013

2013 BN Tak Akan Dapat Rampas Selangor Dari Pakatan...?

Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui terdapat kesilapan dan kekurangan dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang lalu dan berjanji akan bangkit dengan niat dan semangat baru.

Dalam perutusan tahun baharu kepada pengundi-pengundi di negeri itu, Perdana Menteri berkata, BN berjanji memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Selangor serta berusaha memenuhi janji yang dibuat.

"Kami sedar, terdapat kesilapan dan kekurangan dalam pentadbiran BN yang lalu. Atas kesedaran ini, kami berjanji akan bangkit semula dengan niat dan semangat baru bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor.

"Janji kami adalah janji ditepati. Yakinlah dan berilah peluang kepada kami untuk membawa perkhidmatan yang lebih baik," katanya dalam surat yang dihantar kepada pengundi-pengundi di Selangor baru-baru ini.

Najib yang juga Pengerusi BN Selangor dipetik sebagai berkata, tahun 2013 merupakan tahun penting kepada rakyat Malaysia, terutamanya di Selangor setelah lebih empat tahun berhadapan dengan kecelaruan di bawah kerajaan DAP, PKR dan Pas.

"Kini masanya untuk berubah dan mandat baru perlu diamanahkan kepada BN pada pilihan raya umum yang pasti berlaku pada 2013," katanya.

Pada pilihan raya lalu, BN gagal mempertahankan negeri Selangor buat pertama kali dalam sejarah politik negara apabila hanya mampu menang di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kawasan yang ditandingi.

Pakatan pembangkang pula memenangi di 36 kawasan sementara bagi kawasan Parlimen, BN hanya menang di lima kawasan dan pakatan di 17 kawasan.

BN memerlukan 29 kerusi DUN untuk mendapatkan majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.
Sementara itu, portal The Malaysian Times (TMT) melaporkan Najib difahamkan telah mengadakan perjumpaan tertutup bersama lima bahagian iaitu Serdang, Puchong, Ampang, Pandan dan Hulu Langat pada Sabtu lepas.

Difahamkan setiap bahagian diperuntukkan 20 minit yang dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian , Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Ketua Puteri dan Ketua Bahagian dari MIC, MCA, Gerakan dan PPP.

Najib dijangka menemui semua bahagian di Selangor secara berperingkat-peringkat bagi memastikan kemenangan BN di Selangor.

Selain mendengar masalah setempat dan pandangan pemimpin, Perdana Menteri juga menasihatkan jentera di peringkat bahagian diperkasakan .

Perjumpaan tersebut turut disertai oleh Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamad.

Baru-baru ini, Najib menghadiri dua majlis bersama masyarakat India di Selangor iaitu perhimpunan parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) di Semenyih yang dihadiri lebih daripada 15,000 ahli dan Pesta Ponggal Sayangi Selangor anjuran BN Selangor di Padang Chetty di Little India , Klang dengan kehadiran hampir 10,000 masyarakat India.

No comments:

Post a Comment