“Kalau UMNO ambil berat betul pandangan Majlis Syura (PAS), maka
saya cadangkan Majlis Tertinggi Umno akan datang teliti semua keputusan
Majlis Syura,” kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lantas dengan nada menyindir Umno BN, Anwar mencadangkan supaya Umno
mengamal dan melaksanakan semua keputusan yang dibuat Majlis Syura Ulama
PAS jika benar ia mengambil berat pandangan badan tertinggi PAS itu.
Demikian agresifnya pemikiran Anwar terhadap sebarang pandangan pihak
yang tidak sealiran dengannya. Walhal yang lebih patut mengambil berat
keputusan, pemikiran dan sensitiviti PAS (terutama Dewan Ulama PAS)
ialah beliau sendiri dan PKR yang dipengaruhinya.
Jika diamati, Anwar jelas gelisah. Beliau resah sebab PAS kini
mengambil keputusan yang agak bertentangan dengan pendiriannya. Bagi
Anwar tidak mengapa jika orang Kristian Malaysia guna kalimah Allah
dalam Bible. Itu hanya helah politik...
Sebab itu beliau mengulang-ulangi kenyataan bahawa Majlis Presiden
Pakatan Rakyat “terikat” dengan kenyataan Presiden PAS pada 8 Januari
2013. Namun kini Dewan Syura Ulama PAS pula menetapkan bahawa penggunaan
kalimah Allah adalah hak eksklusif muslimin sahaja.
Anwar menafikan laporan yang mengatakan beliau menolak keputusan
Dewan Syura Ulama PAS pada 13 Januari 2013. Sebaliknya, beliau cuba
mengalih perhatian umum dengan menuduh bahawa ia adalah permainan jahat
dan fitnah media UMNO BN.
Soalan yang perlu Anwar jawab
Persoalan lebih penting dijawab oleh Anwar ialah apakah pendirian
sebenar beliau terhadap keputusan Dewan Ulama PAS itu. Setuju atau tidak
..?
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat sanggup dan secara
ikhlas memperbetulkan pendiriannya dalam isu ini. Malah beliau sendiri
mempengerusikan mesyuarat syura yang lalu.
Jika bersetuju mengapa sebagai pengerusi Majlis Presiden Pakatan
Rakyat, Anwar tidak dengan secara ikhlas pula berusaha untuk memanggil
mesyuarat khas bagi membincangkan kembali isu ini ?
Lebih-lebih lagi jika beliau benar ikhlas mengatakan menghormati
keputusan Majlis Syura PAS, sudah tentu beliau faham bahawa inisiatif
sebegitu adalah tanggungjawab pengerusi.
Bukankah Anwar orangnya yang memanggil mesyuarat majlis berkenaan
pada 8 Januari lalu ? Ketika itu adalah jelas motif Anwar ialah untuk
mempertegas pendirian Pakatan Rakyat yang diambil pada 2010 berhubung
isu ini.
Namun apa yang tidak diduga oleh Anwar ialah Dewan Syura Ulama
mempunyai iltizam dan istiqamah dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Isu
kalimah Allah ini dikupas menurut realiti atau waqi’ masyarakat majmuk
Malaysia hari ini....
Undi Kristian Sabah Sarawak diidam PR
Kini apabila nyata PAS mempunyai keberanian politik dan pendirian
yang syarie, Anwar khuatir ini akan menggencatkan skim politiknya
sendiri....
Sebelum ini Anwar melihat isu kalimah Allah boleh melonjakkan
kedudukannya sebagai wira yang memperjuangkan kepentingan rakyat
Kristian Malaysia, terutama di Sabah dan Sarawak.
Sebab itu, Anwar segera memberikan reaksi pada gesaan Setiausaha
Agung DAP, Lim Guan Eng supaya kerajaan mengizinkan kalimah Allah
digunakan dalam Bible berbahasa Melayu.
Ini kerana, menurut analisis Anwar sendiri, pada pilihan raya umum
ke-12, lima tahun lalu, gabungan DAP, PKR dan PAS sudah berjaya
mengatasi majoriti kerusi Umno-BN di Semenanjung. Namun ia gagal
meyakinkan pengundi di Sabah dan Sarawak hingga menyebabkan ia gagal
menawan Putrajaya.
Maka naluri politik Anwar mengatakan jika beliau dapat menghangatkan
impian penganut Kristian berhubung isu kalimah Allah, pasti peluang
diterima sebagai jaguh pengundi Kristian Sabah dan Sarawak akan
mendorong mereka memberi undi kepada Pakatan Rakyat.
Lantas keputusan Dewan Ulama PAS yang bertentangan dengan strategi
ini dianggap sebagai “kacau daun”. Sebab itu, baginya cuma Umno sahaja
yang layak melaksanakan keputusan dewan tertinggi PAS (walaupun ia
dilakukan dengan tujuan menyindir)!
Maka persoalannya ialah, pada pandangan Anwar apakah sebenarnya nilai
pendirian Ulama PAS ? Islami atau tidak ....?
Lebih tepat lagi ialah adakah
keputusan itu betul atau tidak ? Anwar tidak patut berhujah secara
retorik kononnya beliau tidak pernah mengatakan beliau menolak keputusan
Dewan Ulama PAS itu.
Lebih buruk lagi ialah perangai Anwar yang cuba melempiaskan
“kekecewaan” kepada media yang dituduhnya sebagai alat Umno BN yang cuba
memfitnahnya. Fitnah apakah namanya jika beliau sendiri tidak menjawab
persoalan asas — adakah beliau bersetuju dengan pendirian ulama PAS ...?
Anwar mahu Hadi buat pembetulan ?
Kini yang jelas ialah Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Awang yang
cuba “ditekan” oleh Anwar. Ketua Pembangkang itu seolah-olah mengatakan
bahawa Hadi yang patut membuat pembetulan jika pendirian PAS benar-
benar sudah berubah. Bagi Anwar itu adalah prosedur....!
Persoalannya, ke manakah perginya jatidiri Anwar sebagai pemimpin
Islam suatu ketika dahulu ? Jika beliau menghormati ulama, mengapa Hadi
yang perlu “ditekan” dan diletakkan dalam keadaan serba salah kerana
tidak ikut prosedur ?
Anwar tahu apakah akibatnya jika Hadi tidak melaksanakan keputusan
Dewan Ulama Syura. Di segi politik Anwar seolah-olah mahu Hadi bersikap
“malu-alah” kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat. Ia sebagai satu
cabaran supaya Hadi bersikap tegas.
Maka jika Hadi memilih untuk kekal dengan pendirian 8 Januari, tentu
ia akan mencetuskan ketidaksenangan di kalangan ulama. Kedudukan Hadi
tentu tergugat sebagai Presiden PAS.
Sebaliknya, jika Hadi akur kepada keputusan ulama, tentu penyokong-
penyokong Anwar dalam saf kepimpinan PAS sekarang ini akan tidak senang
pula dengan Hadi. Jika itu berlaku, kedudukan Hadi juga kurang selamat.
Apakah Anwar sendiri sebenarnya kurang senang jika Hadi terus menjadi
presiden PAS ? Adakah pemikiran Hadi tidak secocok dengan laras politik
Pakatan Rakyat ?
Anwar lebih senang “menawarkan” Umno mengambil berat keputusan ulama
PAS daripada menyatakan pendiriannya sendiri terhadap cara dan corak
kepemimpinan PAS yang mahu mewakili kepentingan Islam di negara ini.
Sebenarnya, siapakah yang menggunakan isu agama, tidak kira Islam mahupun Kristian untuk kepentingan politik...?
No comments:
Post a Comment