Monday, February 20, 2012

Saya Sentiasa Pelihara Akidah....!

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, beliau sentiasa memelihara akidah sebagai seorang Islam ketika menghadiri upacara penganut agama lain, sesuai dengan tanggungjawab memimpin semua lapisan masyarakat yang mempunyai pelbagai kepercayaan.

Perdana Menteri berkata, tanggungjawab menghormati agama lain perlu diamalkan oleh setiap individu terutama penganut Islam selagi ia tidak bercanggah dengan akidah.

"Kalau sedemikian rupa caranya, insya-Allah umat dan agama Islam akan lebih dihormati. Begitu juga dengan kepimpinannya akan membawa rahmat bukan saja kepada umat Islam tetapi juga yang bukan Islam sebagai rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada penutupan program Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012 bersama Perdana Menteri di sini, hari ini.

Najib menyentuh perkara itu bagi menerangkan teguran Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengenai kehadiran beliau ke sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves di sini, baru-baru ini.

Kata Perdana Menteri, beliau telah pun menerangkan kepada Harussani bahawa kehadiran beliau hanya melibatkan kawasan pekarangan dalam dewan sahaja.

Menurut Najib, ucapannya pada majlis itu pula hanya menyentuh mengenai pembangunan sosioekonomi masyarakat India dan beliau langsung tidak terlibat dengan upacara keagamaan Hindu.

"Jadi Harussani pun kata ia tidak bertentangan dengan hukum syarak dan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dan saya berterima kasih kepada beliau," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta supaya golongan ulama, cendekiawan Islam serta penulis maya bergabung sebagai satu benteng kukuh dalam mempertahankan kepentingan dan maruah Islam di Malaysia.

Menyedari kepentingan itu, Perdana Menteri berkata, tiga kumpulan berkenaan perlu lebih peka dan prihatin terhadap perkembangan semasa dan perubahan dasar kerajaan supaya setiap maklumat dapat disampaikan dengan tepat dan berkredibiliti.

"Justeru berjihad dalam menyebarkan kebenaran dan menegakkan syariah Islam sama ada melalui penulisan atau percakapan hendaklah dimulai dengan niat yang ikhlas, beramanah, maklumat yang jujur dan tepat, serta tidak mengelirukan pihak yang mendengarnya," katanya.

No comments:

Post a Comment