Di saat-saat akhir pilihanraya, pembangkang terus cuba memomokkan rakyat bahawa menukar kerajaan bukanlah sesuatu yang harus dikhuatiri kerana mana-mana parti pun pasti akan cuba berbuat yang terbaik untuk rakyat.
Dalam pada itu, pembangkang terus menonjolkan Barisan Nasional sebagai bukan sebuah parti yang baik, manakala parti mereka adalah yang terbaik.
Hakikatnya, menukar kerajaan bukanlah perkara kecil dan boleh dicuba-cuba dan diperbetulkan kembali dengan mudah. Sekali kita menukar kerajaan, beberapa polisi akan turut berubah sama yang mana tidak semudah itu untuk diubah pula jika tidak berpuas hati.....
Apatah lagi jika kerajaan baru itu mengambil langkah awal menghapuskan atau menukar semua platform bagi menyukarkan polisi tersebut diubah kembali ke asalnya.
Lihat saja bagaimana Presiden Morsi di Mesir yang mendapat kuasa melalui pemberontakan kini menyusun prosedur dan undang-undang baru bagi menghapuskan apa jua peluang bagi orang lain menjatuhkannya melalui cara yang sama, termasuk menangkap mereka yang mengkritiknya.
Apa yang berlaku kepada rakyat Mesir tidak mustahil berlaku di Malaysia, iaitu terpedaya dengan pihak yang ingin merampas kuasa kerajaan yang ada tetapi berakhir dengan mendapat kerajaan yang jauh lebih kejam. Bak kata pepatah, sia-sia saja rakyat Mesir lari dari mulut harimau tetapi akhirnya masuk ke mulut buaya.
Malaysia adalah negara yang jauh lebih ‘rapuh’ dari Mesir dan juga jauh lebih ‘muda’. Oleh itu tindakan menukar kerajaan tentulah jauh lebih berisiko lagi.
Ini kerana kita bukan sahaja berhadapan dengan risiko ketidakstabilan kerana diperintah oleh tiga orang pemimpin kuku besi dari tiga parti yang sering bertentangan prinsip, tetapi juga berhadapan dengan kemungkinan terhapusnya keseluruhan sistem dan budaya bangsa asal negara ini dengan terbuangnya Raja-raja Melayu yang merupakan cita-cita azali Parti DAP.
Kita juga mungkin berhadapan dengan risiko kehilangan kedaulatan jika dilihat dari bantuan-bantuan asing yang dipohon dan diberikan oleh rangkaian zionis kepada Parti PKR.
Malah, kita juga mungkin berhadapan dengan pemerintahan ala Taliban, mundur, chauvinis, kejam, tidak adil dan terkebelakang bagaikan zaman jahiliah jika dilihat dari mentaliti PAS yang mengambil sikap tidak apa jika puak mereka terlibat dalam skandal melibatkan wanita tetapi di masa yang sama mengambil sikap tertutup terhadap hak-hak wanita.
Dengan semua kemungkinan ini bercampur-baur, adalah mustahil bagi kita untuk menggambarkan satu pemerintahan yang stabil di bawah kerajaan PR. Apatah lagi apabila PR telah terbukti gagal menjadi kerajaan yang baik di negeri-negeri yang diperintah mereka.
Mengambil kira semua risiko ini, terbukti rakyat tidak mampu membuat pilihan yang salah dalam pilihanraya.
Rakyat wajib memahami bahawa pilihanraya ini bukan lagi berkisar tentang hal setempat, atau diri sendiri atau calon. Pilihanraya kali ini perlu dilihat dari gambaran yang lebih luas iaitu soal masa depan negara, dari segi kedudukan agama Islam, bangsa dan kedaulatan, sekali gus diri sendiri, keluarga dan generasi masa depan.
Oleh itu, jika kita yakin dengan kepimpinan Dato’ Seri Najib, maka kita wajib yakin dengan calon pilihannya.
Bagaimanapun, kita percaya yang rakyat Malaysia kini sudah jauh lebih matang dan terbuka untuk menilai keadaan. Rakyat juga sudah cukup lali dengan masalah cantas-mencantas dan sabotaj-mengsabotaj siapa saja yang terpilih nanti
Justeru, usah terpedaya dengan pihak-pihak yang berpolitiking keterlaluan itu, kerana kuasa memilih ada di tangan rakyat, bukan Ketua Bahagian atau Cawangan atau Ahli-ahli Jawatankuasa parti.
Biarkan golongan yang masih tidak sedar itu berpolitik sesama sendiri, tetapi rakyat wajib menetapkan pendirian untuk memilih berdasarkan Parti - bukan calon.
Pendek kata, jika anda memilih BN, maka anda wajib memangkah BN walau siapa pun calonnya. Ingatlah bahawa undi anda akan menentukan kerajaan, bukan hanya wakil rakyat di kawasan anda.
Menilai dan memilih calon terbaik bukanlah mudah. Tetapi, menilai dan memilih sebuah parti politik itu adalah tidak sukar kerana kita hanya perlu melihat kepada diri kita dan sekeliling kita.
Sekiranya, kita berada di dalam suasana aman dan selesa, negara pula tidak bergolak, suara dan ketidakpuasan hati kita diberi perhatian, peluang untuk berjaya ada di mana-mana, maka itu menunjukkan bahawa parti politik yang memerintah adalah cukup baik.
Maka, jelaslah bahawa Malaysia bukan berada di mulut harimau pun, jadi kenapa kita perlu lari ke mulut buaya...?
No comments:
Post a Comment