Wednesday, September 12, 2012

Nurul Izzah Hadir Majlis Tan Sri Muhyiddin Lancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dibentangkan hari ini menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperincikan anjakan yang diperlukan untuk mencapai objektif tersebut.

Laporan berkenaan dibentangkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merangkap Menteri Pelajaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 itu telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.

Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa;

2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;

3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;

4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;

5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;

6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;

7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di seluruh Malaysia;

8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;

9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;

10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;

11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.

Menurut dokumen itu, Kementerian Pelajaran berharap usaha tersebut akan memperjelaskan kepada masyarakat usaha mengubah sistem pendidikan negara dan akan mendapatkan maklum balas daripada komuniti mengenai laporan awal berkenaan sebelum pelan dimuktamadkan pada Disember ini.

Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas; Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan penambahbaikan sistem; dan Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel.

Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan.

Pelan turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

Laporan itu juga menyatakan Kementerian Pelajaran melancarkan semakan menyeluruh sistem pendidikan pada Oktober 2011 bagi membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan baharu tersebut.

Menurut laporan itu, keputusan tersebut dibuat dalam konteks peningkatan standard pendidikan antarabangsa, aspirasi kerajaan untuk mempersiapkan kanak-kanak di Malaysia dalam menghadapi abad ke-21 serta harapan menggunung masyarakat serta ibu bapa terhadap dasar pendidikan.

Dalam tempoh setahun, lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar dan orang ramai dilibatkan dalam pelbagai bentuk perbincangan.

Kementerian juga melantik panel 12 pakar tempatan dan sebuah panel empat pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan.

Sementara itu, Najib turut menegaskan bahawa kementerian akan mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Kebangsaan agar sesuai dengan bahasa rasmi dan bahasa perpaduan nasional.

"Walaupun kita perlu mengukuhkan pengajaran Bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan), namun kita juga perlu memperkasakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang menjadi kunci kepada dunia dan kemajuan.

"Pelan yang komprehensif, inovatif dan kreatif perlu bagi memastikan anak - anak kita menguasai Bahasa Inggeris dan pelbagai aspek perlu diambilkira sama ada dari segi jangka masa ataupun kaedah pengajaran," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kaedah pembelajaran menggunakan bahan kesusasteraan Inggeris sebagai salah satu cara bagi penambahbaikkan untuk menguasai Bahasa Inggeris.

Pada majlis tersebut, turut hadir ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Sumber - KL Pos

No comments:

Post a Comment