Jenazah jemaah haji dari Malaysia yang meninggal dunia selepas terjatuh dari sebuah bangunan di Madinah, selamat dikebumikan di Perkuburan Baqi' berdekatan Masjid Nabawi, demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Jemaah wanita yang berasal dari Shah Alam dan berusia 39 tahun itu dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan dan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 4 petang waktu tempatan kelmarin.
Jamil Khir berkata, kerajaan kini menunggu laporan lengkap siasatan daripada polis Arab Saudi berkenaan kes itu.
"Kita masih menunggu, belum dikeluarkan lagi sebarang laporan lengkap daripada pihak keselamatan dan polis Arab Saudi. Saya sudah pun menghubungi wakil kita dari Tabung Haji yang berada di Madinah yang memaklumkan bahawa kita masih menunggu laporan," katanya.
Jemaah haji wanita dari Shah Alam itu meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan hotel penginapannya di Hotel Al-Haram di Madinah, Arab Saudi. .
Sumber memberitahu, mangsa bersama suaminya ke Makkah untuk menunaikan Rukun Islam kelima.
Katanya, sebelum kejadian, mangsa dikatakan berada dalam biliknya di tingkat sembilan hotel berkenaan.
“Mangsa dipercayai terjatuh dari biliknya sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Sementara itu, seorang jemaah haji Malaysia yang turut menetap di hotel sama, Mohd Faizal Mohd Noor berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke Masjid Nabawi, tidak jauh dari hotel itu untuk menunaikan solat Asar.
Katanya, dia ternampak mangsa terjatuh dari bilik hotelnya dan meninggal dunia di tempat kejadian. [Harian Metro]
P/s: Al fatihah buat mangsa dan takziah buat keluarga mangsa...
No comments:
Post a Comment