Tuesday, October 25, 2011

Tok Guru Haji Hadi Kena Jawablah.....

Hala tuju perjuangan Pas dilihat semakin kabur dan bercelaru apabila parti tersebut sanggup mengorbankan akidah semata-mata untuk tujuan politik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, hala tuju perjuangan Pas yang kabur itu terbukti apabila parti berkenaan tidak menyokong Akta Murtad dan penganjuran Himpunan Sejuta Umat (Himpun).

Sebaliknya, beliau berkata, parti tersebut sanggup pula menyertai perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang dipengerusikan oleh Datuk S. Ambiga, individu yang menyokong tuntutan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) semata-mata demi kepentingan politik mereka.

"Apabila Himpun diadakan, apakah pendirian Pas? Apabila ada cadangan Akta Murtad perlu diwujudkan, apakah pendirian Pas?

"Tetapi, apabila perhimpunan haram Bersih diadakan, Pas menyokong dengan penuh semangat. Di manakah pendirian dan perjuangan Pas untuk membela Islam?

"Hala tuju parti tersebut semakin celaru, kabur dan saya percaya pemimpin-pemimpinnya juga kini keliru dengan perjuangan sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mashitah, rakyat perlu sedar dan menilai sendiri kecelaruan yang sedang melanda Pas.

"Sekiranya Pas sebagai pemandu, ke manakah mereka akan membawa rakyat yang menjadi penumpang? Saya berharap rakyat boleh menilainya sendiri," ujarnya.

Berhubung hudud, Mashitah berkata, Pas perlu memperincikan terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan.

Katanya, ini bagi mengelakkan timbul masalah seperti fitnah dan sebagainya apabila dilaksanakan.

"Kami tidak menolak hudud. Kami cuma mahu Pas memperincikan terlebih dahulu hukum hudud yang ingin dilaksanakan supaya tidak timbul kekeliruan sehingga boleh menyebabkan fitnah.

"Sekiranya mereka mahu melaksanakannya juga, mereka boleh lakukannya di Kelantan. Kita telah mendengar perkara ini daripada dahulu lagi tetapi sehingga sekarang ia (hudud) tidak pernah dilaksanakan di negeri berkenaan," jelasnya. Utusan Online

No comments:

Post a Comment