Thursday, February 21, 2013

Ramalan Khir Toyo - PRU 13 BN Selangor Kalah 17 Kerusi Cina

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo meramalkan Barisan Nasional akan kalah di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan ramai pengundi Cina.

Menurut Dr Khir, 9 [sembilan] kerusi terletak di empat kawasan parlimen yang dikuasai pembangkang iaitu Kelana Jaya, Subang, Petaling Jaya Utara dan Petaling Jaya Selatan.

Manakala bakinya iaitu lapan kerusi lagi di beberapa kawasan lain yang ramai pengundi Cina, katanya lagi.

17 kerusi DUN berkenaan mempunyai majoriti pengundi Cina atau pengundi bercampur – pengundi Melayu dan Cina sama ramai.

Selangor mempunyai 56 kerusi DUN dengan Pakatan Rakyat menguasai 36 kerusi dan BN 20 hasil pilihan raya umum 2008.

Pada pilihan raya itu juga, Pakatan Rakyat mengambilalih kepimpinan kerajaan negeri dari BN.

“Pengundi Cina masih sama dengan tahun 2008 iaitu menolak BN dan mengundi Pakatan Rakyat.

“Paling baik pun, peluang BN dan Pakatan Rakyat di Selangor adalah 50-50,” kata Dr Khir  lagi.

 
Pengundi Cina Lebih 30 Peratus

Malah, kata Dr Khir, secara keseluruhannya untuk kawasan-kawasan lain DUN dan Parlimen lain di Selangor juga, pengundi Cina masih menolak BN.

Katanya, lebih 30 peratus pengundi di Selangor merupakan kaum Cina dengan sebahagian besar tinggal di bandar-bandar utama.

Bagaimanapun, katanya, orang Melayu yang  banyak tinggal di Sabak Bernam, Sepang dan Kuala Selangor serta Shah Alam menyokong BN.

Katanya, UMNO turut dibantu dengan isu kalimah Allah yang menyebabkan pengundi PAS berpaling tadah kepada BN.

“Tidak ada cara lain jika mahu menang, BN mesti mendapatkan pengundi kaum Cina,” katanya lagi.

Dr Khir berkata, wakil rakyat UMNO sedia ada perlu memberi laluan kepada muka baru jika mereka sudah tidak popular.

Katanya, jika rakyat mahu muka baru mewakili mereka, wakil rakyat sedia ada perlu berundur.

Dalam isu berkaitan,  bekas Menteri Besar Selangor itu mendakwa tidak ada pembangunan di negeri itu yang dibawa oleh  Khalid Ibrahim.

Katanya, ini kerana Menteri Besar itu lebih gemar menyimpan wang di bank daripada digunakan untuk pembangunan negeri.

1 comment:

  1. Saya setuju sebab dia pun jawa macam aku namun kenyataan nya itu juga satu petanda penolakan melayu juga berlaku khususnya dibandar seperti AMPANG. GOMBAK. SHAH ALAM. KUALA LANGAT. ULUL LANGAT. SABAK BERNAM. kawasan ini melayu campur. Bagi seluruh negara pula siapa yang dapat menguasai kerusi PARLIMEN 70 kerusi kawasan CINA dia akan menang ini berdasarkan PAS 25 PKR 25 dari kawasan melayu. Sebagai orang melayu kita dapat membaca perubahan ini jadi perubahan ini telah menyebabkan BN dalam keadaan celaru ditambah dengan kenyataan bodoh oleh presiden MCA dan kelembapan GERAKAN juga MIC....Jadi PRU13 ini adalah medan menguji AF13.....Antara ANGKA dan FANTASI 13.

    ReplyDelete