Saturday, August 13, 2011

Anwar Ibrahim & Karpal Singh Kena CHECK MATE..! Datuk Sri Najib & Datin Sri Rosmah Pergi Mahkamah Semalam...

Jangan kata kalangan wartawan malah peguam Karpal Singh sendiri kata terkejut bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor hadir di Kompleks Mahkamah Jalan Duta,Kuala Lumpur berhubung kes perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Atas sebab itu pasukan peguam Datuk Seri Anwar sendiri terlewat kira-kira 15 minit.Najib dan Rosmah tiba pada pukul 2.55 petang dan selepas itu baru mereka tiba.

Kehadiran kedua mereka ke mahkamah itu ekoran keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah Isnin lalu membenarkan permohonan Anwar untuk menemu bual saksi-saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

Ramai pemerhati yang melihat proses temu bual saksi ini tidak lebih dari usaha untuk melengah-lengahkan perbicaraan sebenar kes liwat yang sudah beberapa kali tertangguh.

Perdana Menteri dan isteri telah bertemu dengan pasukan peguam bela Anwar secara berasingan selama lima minit di bilik mesyuarat tingkat tujuh kompleks berkenaan.Kedua mereka berkata mereka tidak relevan bagi kes berkenaan.

Selain Karpal ,dua lagi ialah SN Niar dan Datuk Param Cumaraswamy.Najib dan isteri meninggalkan kompleks itu pada pukul 3.28 petang ini.

Perdana Menteri kemudiannya terus ke PWTC dimana beliau sepatutnya dijadual mempegerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional yang asalnya dijadual bermula 3 petang.

Sementara itu ketika ditanya wartawan dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat itu apa rasional beliau hadir sedangkan dipercayai wujud taktik melengah-lengahkan perbicaraan, Najib berkata kehadirannya di Kompleks Mahkamah itu adalah sebagai menghormati keputusan yang telah dibuat hakim.

"Saya sebagai rakyat Malaysia perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh hakim, tak kiralah apa jua jawatan,"katanya.

Perdana Menteri berkata sebab itu beliau hadir ke majlis tersebut dan telah memaklumkan pendiriannya.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan perkara yang dimaklumkannya kepada peguam bela Anwar kerana beliau telah "sampaikan(nya) mengikut hak saya."

"Saya tahu apa hak saya dan saya telah sampaikan kepada pihak peguam yang mewakili Anwar, dan Anwar juga ada di situ," katanya.

Sementara itu, Karpal Singh berkata Najib dan Rosmah menolak untuk ditemu bual bagi kes perbicaraan liwat Anwar yang sedang berjalan dan kedua-duanya juga tidak mahu menjadi saksi pembelaan dalam kes itu.

Karpal berkata pasukan pembelaan belum menemu bual enam yang lain termasuk bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan lima yang lain.

"Oleh itu, kita tidak dapat meneruskan perbicaraan seperti dipersetujui sebelum kita selesai menemu bual saksi sebelum perbicaraan," katanya.

Menurut beliau mereka mungkin akan minta penangguhan perbicaraan Isnin ini sehingga temu bual semua aksi selesai.

Selain Najib dan Rosmah,keputusan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah juga membenarkan permohonan Anwar untuk menemu bual bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hasan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Pada penutup kes, pihak pendakwaan menawarkan 71 saksi termasuk Najib dan Rosmah. Pihak pembelaan memilih untuk menemu bual 25 orang sahaja.

Mahkamah menetapkan 15 hingga 26 Ogos untuk kes pembelaan. Mahkamah pada mulanya menetapkan 8 hingga 26 Ogos dengan Anwar dijadual sebagai saksi pertama untuk memberi keterangan.

Pada 16 Mei, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar untuk membela diri selepas memutuskan bahawa bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes itu, merupakan seorang saksi yang bercakap benar dan berwibawa.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos, 2008, terhadap pertuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun yang sama.-12/8/2011

No comments:

Post a Comment