Wednesday, April 25, 2012

PKR Selangor Takut Angin Perubahan

Cadangan agar Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Dewan Rakyat, hanya menunjukkan pakatan pembangkang takut dengan angin perubahan yang melanda negeri itu.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang membuat saranan itu kerana beliau sedar tentang sokongan rakyat yang telah kembali kepada BN termasuk masyarakat India yang dahulunya memihak kepada pakatan pembangkang.

Oleh itu, katanya, Anwar mula mencari alasan baru kononnya senarai daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bersih dan hanya akan menyertai pilihan raya umum selepas semuanya bersih mengikut pandangan mereka.

"Dahulu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pernah mengeluarkan kenyataan yang Dewan Undangan Negeri Selangor tidak akan dibubarkan sekiranya pilihan raya umum diadakan sebelum Jun 2012. Tetapi sekarang sudah hujung April, belum ada tanda tetapi Anwar pula cadang Selangor tidak akan sertai pilihan raya itu dengan alasan baru.

"Sebenarnya Anwar dan pembangkang takut dengan angin perubahan rakyat Selangor dan mereka juga takut kerana semakin hilang sokongan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jimat Belanja Dapur (JBD) Fasa III di Pasar Tani Shah Alam, di sini hari ini.

Ini kerana, ujar beliau, pakatan pembangkang tidak lagi boleh memperalatkan pihak lain sebagai contohnya Hindraf kerana sokongan kaum India terhadap mereka semakin menyusut.

Bagaimanapun, kata Noh, BN Selangor tidak mempunyai masalah jika kerajaan PKR negeri tetap mahu mengadakan pilihan raya berasingan kerana ia juga sebenarnya akan memberikan kelebihan kepada BN apabila dapat memberi tumpuan sepenuhnya di Selangor.

1 comment:

  1. bukan takut angin perubahan tapi orang bangla,yanmar,nepal dah jadi rakyat selangor...kesian dengan jawa2 totok,sabak bernam,sekinchan dan banyak tempat lain kat selangor tak ada tanah nak tinggal sebab kalut nya united lembu nak menang pr13????

    ReplyDelete