Thursday, April 5, 2012

Lagi Laporan Polis Oleh Datuk Nalla....

Senator Datuk S. Nallakaruppan hari ini membuat laporan polis selepas mendakwa menerima sepucuk surat berbaur ugutan yang diposkan ke peti surat rumahnya di Jalan Selekoh Tunku, Bukit Tunku semalam.

Nallakaruppan membuat laporan itu di Balai Polis Sentul di sini kira-kira pukul 1 petang.

Menurut beliau, surat yang disertakan di dalam sampul beralamat Parliament House, Jalan Parlimen itu diterimanya kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam.

Katanya, surat bertulisan tangan dalam bahasa Inggeris itu mengandungi unsur ugutan ekoran tindakannya mengeluarkan kenyataan mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai biseksual, baru-baru ini.

Beliau berkata, antara isi kandungan surat itu adalah How dare you accuse Anwar Ibrahim (Berani kamu tuduh Anwar Ibrahim) dan Nalakaruppan and Shafee Abdullah be careful (Nalakaruppan dan Shafee Abdullah berhati-hati).

"Isi kandungan surat tersebut mempunyai unsur ugutan kepada diri saya dan peguam saya iaitu Shafee.

"Saya membuat laporan polis bagi meminta pihak polis menjalankan siasatan ke atas surat yang dihantar pihak tertentu.

"Saya tetap tidak berganjak daripada kenyataan saya berhubung perbuatan sebenar Anwar (biseksual) walaupun menerima ancaman," tegasnya pada kepada pemberita di hadapan Balai Polis Sentul di sini hari ini.


Menurut Nallakaruppan, sebelum ini beliau juga menerima beberapa mesej ugutan dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) serta panggilan telefon dan telah membuat laporan polis.

Katanya, selain itu, beliau turut menyedari kehadiran individu mencurigakan yang sering memerhatikan pergerakan kenderaannya.

"Justeru, ini kali kedua saya membuat laporan polis sebagai langkah bagi memastikan keselamatan diri saya dan keluarga," katanya.

Pada 26 Mac lalu, Nallakaruppan membuat laporan di Balai Polis Sentul selepas dua lelaki tidak dikenali mendekati dan mengugut mahu memukulnya jika berterusan bercakap mengenai Anwar semasa berada di sebuah kedai di Bukit Tunku.

Ugutan itu diterima selepas Nallakaruppan membuat kenyataan mendakwa mempunyai bukti kukuh mengaitkan Anwar yang juga bekas rakan karibnya itu sebagai biseksual dan disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 20 Mac lalu.

No comments:

Post a Comment