Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memulakan siasatan kes
serangan seksual didakwa membabitkan seorang pemandu teksi.
Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal dalam
kenyataan hari ini berkata SPAD berjaya mengesan pemandu teksi itu,
dipercayai berumur 70-an dan telah dipanggil untuk siasatan.
"Kami (SPAD) akan bekerjasama rapat dengan polis dalam
penyiasatan ini. SPAD mengutuk semua bentuk gangguan dan jika didapati
bersalah, pemandu teksi itu berdepan risiko lesen dibatalkan mengikut
Akta Pengangkutan Awam Darat 2010," katanya.
Beliau mengulas laporan The Star bertajuk 'Nightmare ride with
pervert cabbie' mengenai seorang wanita berumur 20 tahun yang dipaksa
meletakkan tangannya pada kemaluan pemandu teksi itu sepanjang
perjalanan.
Pekerja pusat panggilan itu menaiki teksi berkenaan selepas
membeli barangan dapur dekat Jalan Metro Prima di Kepong pada kira-kira 7
malam, 28 Jan lepas.
Wanita itu duduk di tempat duduk penumpang sebelah pemandu teksi
itu yang kemudian mula memberi komen lucah dan seksual terhadapnya.
Pemandu itu, dipercayai berumur 70-an, didakwa meraba pahanya dan
meletakkan sebilah pisau di atas papan pemuka dan pada masa sama
mengeluarkan kata-kata lucah terhadap wanita yang ketakutan itu.
Mohd Nur Ismal berkata sesiapa didapati bersalah terhadap
perbuatan seperti didakwa itu tidak layak menjadi pemandu teksi dan
mengaibkan profesion itu. - BERNAMA
Notice: Secure Your Wallet with 2FA
5 hours ago
No comments:
Post a Comment