Para penyokong Pas menyelar kenyataan
Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang menggesa agar kes saman malu antara bekas
calon PKR Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin dengan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang diselesaikan di luar
mahkamah.
Kenyataan yang dikeluarkan melalui laman
Facebook ‘Kami Bersama Ulama Muda Haraki’ itu meminta agar kes
saman ini diteruskan perbicaraannya di dalam mahkamah, kerana di dakwa ia telah
menjatuhkan maruah Hadi selaku Presiden.
“Selesai dalam mahkamah. Kamu dah jatuhkan
maruah Presiden kami. Senang-senang nak tarik perhatian penyokong PAS... KAMI
DAH TAHU
PERMAINAN KAMU,” tegasnya.
Terdahulu Anwar melalui laman twitternya
cuba mengambil jalan selamat untuk memujuk hati para penyokong Pas yang marah
dengan tindakan itu dengan menjelaskan kononnya PKR telah meminta agar perkara
tersebut diselesaikan di luar mahkamah.
Dia yang juga merupakan bakal calon untuk
kerusi Dun Kajang menjelaskan, walaupun keluarga Mohd Shamsul berkeras untuk
meneruskan saman tersebut namun pemimpin PKR di peringkat pusat telah
memberikan nasihat kepadanya berhubung perkara tersebut.
“Pimpinan telah nasihat
dulu. Keluarga berkeras. Saya telah jelaskan kepada Abdul Hadi. Kita
sedang usahakan,” katanya.
Para penyokong Pas sebelum ini terkejut
dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang memerintahkan Hadi
agar membayar saman RM2 juta yang dikemukakan oleh Shamsul yang juga merupakan
Ketua Angkatan Muda PKR Dungun.
Saman tersebut difailkan oleh Shamsul,
ekoran dari kenyataan Hadi di dalam ceramahnya di Kampung Tebakang, Alor
Limbat di Marang, Terengganu ketika kempen pilihanraya umum yang lalu. Di dalam
ceramah tersebut Hadi dengan lantang menjelaskan sebab mengapa parti itu tetap
meletakkan calon Pas untuk bertanding di beberapa kawasan yang turut ditandingi
oleh PKR.
Menurutnya, dia MEMPUNYAI MAKLUMAT ada
calon daripada pakatan pembangkang yang membuat kerja haram dengan menjual pil
kuda.
Menurut Mohd Badiuzzaman Mohd Nursi di halaman page berkenan, memang terdapat
asas, sekiranya PKR menarik balik saman tersebut, kerana takut apabila melihat
kemarahan yang ditunjukkan oleh para penyokong dan ahli Pas.
Namun menurutnya tindakan tersebut bukan
dilakukan kerana Tok Guru (Hadi), tetapi kerana bimbang jentera Pas memboikot
#KajangMove sekaligus menyebabkan kekalahan Anwar.
“Usaha boikot KajangMove ada asas, sebab
jentera Pas lihat PKR bukan nak jaga pun perasaan dan maruah Presiden. Tapi
(hanya ingin) guna tenaga dan pengaruh Presiden Pas dalam di Kajang. Saya tak
kisah kalau jentera Pas nak boikot sebab ada asas yang kuat,” katanya.