Wednesday, February 22, 2012

Anwar Lebih Sesuai Debat Dengan Saiful - Tengku Adnan

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menolak cadangan pembangkang supaya beliau mengatur perbahasan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memandangkan tiada keperluan untuk itu.

Beliau berkata pakatan pembangkang sengaja mewujudkan provokasi berdasarkan perbahasan yang diadakan sebelum ini bagi mempolitikkan usaha kerajaan dan kemudian membuat fitnah terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN).

"Saya tidak nampak sebarang keperluan untuk debat antara Datuk Seri Najib dan Anwar tetapi sekiranya Anwar mahu berdebat, saya boleh mengaturkan untuk beliau berbahas dengan bekas pembantunya sendiri iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan," katanya dalam satu temu bual yang disiarkan Umno-Online hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang memintanya mengatur perbahasan antara Perdana Menteri dengan Anwar.

"Apa yang mahu didebatkan antara Perdana Menteri dengan Anwar kerana pembangkang hanya akan menjadikan ia sebagai medan politik semata-mata dan bukannya membincangkan apa yang patut dibicarakan. Pakatan pembangkang sendiri tidak mempunyai tujuan atau sebab munasabah sehingga debat perlu diwujudkan," katanya.

Dalam temu bual itu, Tengku Adnan turut mengulas perbahasan antara Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng Sabtu lepas, yang menurutnya dibuat bagi membincangkan permasalahan dalam masyarakat Cina di negara ini.

Tengku Adnan berkata perbahasan antara Dr Chua dan Lim itu juga telah membolehkan orang ramai menilai sandiwara pembangkang yang gemar mempolitikkan isu tertentu dan menyimpang daripada landasan perbincangan. BERNAMA

No comments:

Post a Comment