Friday, January 27, 2012

Penjelasan Jabatan Audit Negara Mampu Bersihkan NFCorp...!!


Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail menyifatkan penjelasan yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara semalam mampu membersihkan nama syarikat itu yang menjadi mangsa fitnah pembangkang.

Sambil melahirkan rasa syukur dan berterima kasih mengenai penjelasan itu, Mohamad Salleh beranggapan kenyataan jabatan tersebut juga dapat membebaskan NFCorp daripada kekejaman pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kata Mohamad Salleh, beliau tidak dapat mengelak daripada berasa hairan mengapa jabatan berkenaan mengambil masa yang lama untuk membuat penjelasan tersebut kepada umum sedangkan isu berkenaan sudah berlarutan agak lama.

''Daripada penjelasan yang dibuat oleh jabatan itu, adalah jelas Laporan Ketua Audit Negara 2010 membuat teguran terhadap kerajaan atau projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Gemas, Negeri Sembilan dan bukannya NFCorp," katanya.


Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada penjelasan yang dibuat Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang semalam bahawa perkara yang menjadi fokus utama pengauditan prestasi yang dibuat jabatan itu adalah pencapaian NFC sejak ditubuhkan pada 2006 dan bukannya NFCorp sebagai sebuah syarikat.

Ambrin dalam kenyataan itu juga berkata, laporan jabatan tersebut tidak ada menyebut perkataan-perkataan seperti kucar-kacir, 'in a mess' atau penyelewengan dalam laporan pengauditannya terhadap projek NFC di Gemas, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, projek NFC telah dijadikan isu oleh pembangkang yang menggambarkan seolah-olah ia diuruskan dengan melibatkan penyelewengan termasuk mengaitkannya dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Mohamad Salleh menambah, media sepatutnya dari awal tidak terpengaruh dengan permainan pembangkang yang memutar belit fakta dalam isu NFC itu kerana jelas ia adalah satu fitnah.

''Malangnya saya melihat media terikut-ikut dengan permainan pembangkang ini sedangkan kita tahu bahawa mereka berniat untuk menghancurkan negara," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif NFCorp, Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata, penjelasan Jabatan Audit Negara itu akan menjadi pemangkin kepada syarikat berkenaan untuk membersihkan imej, seterusnya menguatkan persepsi awam terhadap perniagaan yang dijalankan mereka.

No comments:

Post a Comment