Anwar Temui Bekas Pimpinan ABIM Di Cyberjaya Malam Ini?
KUALA LUMPUR 1 Jan. – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan pertemuan dengan barisan bekas pimpinan Akademi Belia Islam Malaysia (ABIM) di Cyberjaya malam esok.
Bekas setiausaha sulitnya, Anuar Shaari berkata, pertemuan itu bertujuan mengembalikan sokongan bekas- bekas pimpinan ABIM kepada Anwar yang dilihat telah ‘beralih arah’ berikutan perkembangan terbaru pemimpin pembangkang tersebut kebelakangan ini.
Katanya, Anwar dijangka menjelaskan beberapa isu berkaitan dirinya termasuk, mengapa beliau enggan menyaman WikiLeaks berhubung pendedahan dalam aktiviti liwat serta menafikan ‘hubungan istimewanya’ dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
Selain itu, katanya, Anwar juga dijangka memberi penjelasan mengapa beliau enggan menyaman beberapa individu seperti bekas sahabat rapatnya, Datuk S. Nallakaruppan dan bekas setiausaha sulitnya, Muhamad Rahimi Osman berhubung isu akuan bersumpah Rahimi.
“Anwar juga dilihat menggunakan kesempatan itu untuk menyatakan beliau bukan mangsa ugut DAP ekoran perkembangan politik kini dan juga menjelaskan mengapa beliau mengambil Pengerusi DAP, Karpal Singh menjadi peguam bela dalam kes liwatnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, kata Anuar, pemimpin PKR itu perlu berbuat demikian kerana rakyat kini tertanya-tanya mengenai tindakan dan reaksi Anwar yang dilihat berdiam diri daripada menjelaskan kelima-lima isu tersebut.
Sebagai contoh, katanya, tindakan Anwar mengupah Karpal menjadi peguam bela dalam kes liwatnya kini amat menghairankan kerana Karpal sendiri pernah mendedahkan beliau mempunyai bukti kukuh mengenai keterlibatan Anwar dalam kes liwat pertama pada 1997.
Justeru kata Anuar, Ketua Pembangkang itu dijangka akan menggunakan pendekatan sentimental dalam perjumpaan malam esok bagi meraih simpati bekas pimpinan ABIM seterusnya menarik kembali sokongan kepadanya.
“Sudah tentu Anwar akan menggunakan sentimen seperti ‘kita pernah berjuang bersama dalam ABIM dahulu, anta mesti ingat’ dalam meraih simpati mereka,” jelasnya.
Katanya, pertemuan itu dijangka dihadiri sekitar 50 sehingga 100 bekas pimpinan ABIM terutama yang aktif ketika Anwar menjadi presiden pergerakan tersebut pada awal 1970an.
Utusan Online - klik sini
No comments:
Post a Comment